Petang mula merangkak ke senja.
Kala itu hujan mula renyai-renyai membasahi bumi.
Hampir kesemua murid sebaya Yusman sudah pulang ke rumah.
Yang tinggal hanya dia, Afia dan beberapa orang murid tahun 6 yang mengambil tuisyen di sekolah. Masing-masing mula resah menunggu ibu bapa yang masih tidak kunjung tiba, terutamanya Si Afia, teman sekelasnya itu.
Yusman berkira-kira mahu sahaja meredah hujan renyai-renyai itu sebelum ianya bertambah lebat. Namun bila difikirkan Afia, Yusman tidak jadi jadi melangkah.
Yusman menunggu lagi.
“Kau nak ikut aku balik tak? Aku dah tak larat nak tunggu nie?”
Yusman mengajak Afia setelah hampir dua jam mereka menunggu di situ.
Memandangkan rumah mereka tidaklah begitu jauh, jadi Yusman merasakan tidak salah untuknya mengajak Afia pulang bersama.
Lagipun kesemua murid-murid tahun 6 yang menunggu bersama mereka tadi pun baru saja diambil oleh waris masing-masing.
Kalaulah dia pulang, maka Afia akan berseorangan di situ.
“Man, kenapa bapa aku tak datang-datang lagi nie. Entah-entah jadi apa-apa kat jalan. Aku risaulah,” ujur Afia kerisauan sambil memandang Yusman di hadapannya yang sedang mengeliat membetulkan urat kaki yang kelenguhan akibat duduk mencangkung sebentar tadi.
“Ishh, ada pulak cakap macam tu. Dah, dah! Nak ikut aku balik ke tak?
Kalau nak tinggal dengan pak cik pengawal ni, aku nak gerak sekarang!”
ujur Yusman mula melangkah.
“Tunggu aku lah!” Afia menjerit kecil.
Dia yang sedang bersila di atas kerusi simen di bawah pondok pengawal mula melunjurkan kakinya ke lantai. Terkocoh-kocoh Afia berlari, cuba menyaingi langkah Yusman yang sudah beberapa meter di hadapan.
Yusman pula tersenyum nipis.
Tahu sangat perangai Afia, si kaki penakut itu.
Tambahan pula, cuaca makin kelam apabila matahari mula jatuh di ufuk barat.
Sudah tentu, sifat penakut Si Afia semakin bertambah-tambah.
“Man, kau takde rasa apa-apa ke. Aku rasa tak sedap hati tau!”
Usul Afia sewaktu mereka meniti jambatan kecil yang menyeberangi alur sungai untuk masuk ke Kampung Pulai.
Yusman hanya mendiamkan diri sahaja.
Sebenarnya, dia juga berperasaan seperti Afia.
Dalam hati, Yusman berasa agak pelik dan tertanya-tanya mengapa ayahnya masih tidak datang mengambilnya petang ini. Namun, dia cuba mengabaikan perasaan tersebut dan dia mahu segera tiba di rumahnya.
Di hujung jambatan kayu, Yusman ternampak kelibat Yazi, rakannya yang ponteng kelas tuisyen di sekolah tadi, sedang membonceng basikal tua milik arwah datuknya itu.
Tangan dilambaikan ke arah Yazi.
“Woi, pemalas. Mari sini kau!”
Panggil Yusman sambil berlari-lari anak ke arah Yazi.
Afia di belakangnya pula hanya senyap-senyap sahaja menuruti langkah Yusman.
Yazi yang ternampak Yusman terus sahaja memecut basikal tua milik arwah datuknya itu
ke arah Yusman.
Ada perkara penting yang harus diberitakan kepada temannya itu.
“Man, jom..jom balik sekarang!” Ajak Yazi tercungap-cungap.
Basikal tua yang tidak sempat dibreknya itu hampir-hampir sahaja melanggar Yusman.
Yazi menepuk-nepuk tempat duduk belakang basikal supaya Yusman mengikutnya dengan segera.
“Wow..wow. Apa hal dengan kau sampai nak melanggar orang nie?”
Tegur Yusman sambil menahan handle basikal tua yang sudah berkarat itu daripada melanggarnya.
“Teruk betullah kau nie Yazi. Basikal tua pun tak reti bawa!” Marah Afia pula.
Dia juga sipi-sipi hampir dibedal oleh basikal tua Yazi.
Yazi memandang Yusman dengan perasaan yang berbelah bahagi.
Ibarat menelan butir-butir pasir dirasakan untuk mengkhabarkan berita tersebut kepada Yazi.
“Man. Man, kau kena balik sekarang. Bapa kau..bapa kau..tengah hari tadi..kereta..”
“Kau cakap apa nie?!” pintas Yusman laju tanpa sempat Yazi menghabiskan kata-katanya.
Yusman sebenarnya tidak sedap hati apabila nama bapanya meniti dibibir Yazi.
“Yazi, kau cuba cakap perlahan-lahan sikit biar aku dengan Yusman faham,”tegur Afia pula.
Hati Afia juga sama seperti Yusman.
Dia juga rasa tidak enak dan was-was dengan berita yang kurang jelas tadi.
Yazi menarik nafas panjang.
Kedua-dua wajah temannya itu dipandang sayu.
Terutamanya Yusman. Dengan berat hati, Yazi bersuara.
“Man, bapa kau, Pak Akop..bapa kau dah tak ada!”ujur Yazi perlahan.
Yusman terkaku mendengar berita itu. Afia pula terkedu.
Terlepas sudah segala buku yang berada di genggaman Yusman. Begitu juga Afia.
Yusman tidak menunggu lagi.
Wajah ayahnya, Pak Akob terus terbayang-bayang di fikiran.
Selaju mungkin langkah diatur meninggalkan Yazi dan Afia.
Hujan renyai-renyai yang mula melebat tidak dia hiraukan lagi.
Dia ingin segera pulang.
Yang pasti air matanya mula berjuraian.
Yang nyata hatinya cuba tidak membenarkan kata-kata Yazi.
Yusman cuba memujuk hatinya lalu berlari sepantas mungkin untuk pulang ke rumah.
No comments:
Post a Comment