14 Januari 2012. Bermula perjalanan seorang bakal guru baru ke negeri Selangor Darul Ehsan. Tanpa mengetahui di daerah mana aku bakal ditempatkan, aku bersama kedua orang tuaku bergerak dari utara ke negeri itu. Perjalanan yang panjang dilalui dengan perasaan gundah gulana dan penuh sayu hati. Dari satu negeri ke satu negeri dilalui. Namun, apa yang menarik perhatianku adalah laluan di sepanjang negeri Perak. Nampaknya, Perak bermusim buah. Banyak buah-buahan di tepi-tepi jalan. Namun, keenakkan buah-buahan itu masih tidak mampu menyenangkan hatiku. Perjalanan diteruskan lagi.
Sepanjang perjalanan abah banyak bercerita tentang penempatan pertama abah selepas keluar dari maktab (sekarang dikenali sebagai IPG). Patutlah abah bagaikan dapat menghafal setiap nama tempat di negeri Selangor. Pengalaman abah mengajar di negeri Selangor banyak mengubat kesayuan hati ini. Ma pula pendengar yang tegar. Seperti aku, ma hanya bersuara jika abah memandu laju di celah-celah kenderaan berganda-ganda besar dari wira abah.
Peta ditangan tidak dilepaskan. Negeri Selangor berjaya dituju. Namun, aku merasakan perjalanan dari satu daerah ke daerah lain begitu jauh. Hatiku merasakan betapa besarnya bumi Selangor ini. Akhirnya, destinasi pertama berjaya ditujui. Tanjung Karang. Laluan sawah padi dan tali air amat menarik hati. Tempat mak ngah adik ma di situ. Mak ngah dan pak ngah menyambut kami dengan tangan terbuka. Kata ngah, kalaulah aku dipostingkan dekat dengan rumahnya, bolehlah aku tinggal di rumahnya. Beriya-iya ngah mengharapkan aku dapat sekolah di kawasan Tanjung Karang. Aku hanya mampu tersenyum, sedangkan hatiku begitu bercampur aduk.
Maghrib di Tanjung Karang. Aku menerima SMS daripada kawan-kawanku. Mereka mengatakan bahawa laman web JPS sudah diupdatekan. Maksudnya semua budak-budak PISMP ambilan Januari 2008 termasuk aku yang ditempatkan di Selangor dapat mengetahui di sekolah mana kami akan ditempatkan. Mujur rumah ngah ada internet. Aku dengan hati yang berdebar-debar meyemak web tersebut dengan berhati-hati. Hatiku tidak putus-putus beristigfar supaya aku redha di mana saja aku akan ditempatkan. Akhirnya, di daerah Klang aku ditempatkan. Ma di sebelah nampak kurang ceria dengan berita itu. Ngah juga begitu. Nampaknya, daerah Klang agak jauh. Macam-macam aku fikirkan.
'Di mana aku akan tinggal nanti?'
'Bagaimana agaknya keadaan tempat itu?'
'Bolehkan aku berhadapan dengan guru-guru senior?'
Esoknya, ma, abah dan aku bergerak ke Kapar pula. Juga rumah adik ma, Cik Zan. Cik Zan dan Pak Cik Man juga seorang guru seperti ma dan abah. Kata Pak Cik Man, kalaulah aku ditempatkan di daerahnya atau di Shah Alam, bolehlah aku menumpang di rumah sewanya. Namun, nampaknya rezeki aku bukan di situ. Rezeki aku di Pelabuhan Klang. Nun jauh di sana. Kata kawan aku si Syafiq, tempat itu tempat orang Jawa. Jangan sampai dijampi-jampikan. Aku tahu gurauan dia sebenarnya mahu memberitahu aku supaya berhati-hati.
Pagi Ahad, Pak Cik Man membawa abah, ma dan aku meninjau kawasan PPD Klang dan jalan-jalan untuk ke sekolahku. Pesannya supaya aku mengingati dan mengenal jalan-jalan tersebut. Aku menurut kata. HP ditangan aku guna untuk menaip setiap tanda-tanda di jalan. Ma pula masih resah memikirkan di mana aku akan tinggal pula. Kata Pak Cik Man, dia ada seorang kenalan perempuan yang memerlukan lagi dua orang untuk menyewa di rumahnya. Malam nanti dia akan bawa kami ke rumah kawannya itu.
Laluan ke Kampung Raja Uda nampaknya tidaklah begitu susah. Akhirnya aku tiba juga di sekolah itu. Orang pertama aku bercakap adalah dengan pengawal sekolah. Dialah yang banyak memberikan info tentang sekolah ini selepas mengetahui aku adalah guru baru yang akan melaporkan diri keesokannya.
"Sekolah ini mempunyai lebih kurang 800 murid dan ada dua sesi pagi dan petang.
Mempunyai dua bangunan 3 tingkat yang dihubungkan oleh jalan yang mudah untuk ke kelas. Suasana kelas juga kondusif dan cantik.'
Pandangan pertama tentang sekolah ini.
Ma tanya aku,
"Suka tak sekolah ini?"
Aku mengangguk.
"Suka ma. Nampak best."
Ma nampaknya bersetuju dengan aku.
Petang itu abah, ma dan aku sekali lagi cuba pergi ke PPD Klang dan sekolah tanpa bantuan Pak Cik Man. Laluan ke PPD Klang mudah sahaja dilalui. Namun, di pertengahan jalan menuju ke sekolah, nampaknya abah tersilap jalan. Puas juga kami berpusing-pusing di sekitar Klang. Akhirnya, mujur kami masih nampak papan tanda ke pelabuhan klang. Berjaya juga abah memandu ke sekolah aku.
Petang itu juga, ma dan abah cuba mencari rumah-rumah di sekitar kawasan sekolah untuk aku menyewa. Namun, satu pun tidak jumpa. Kata ma, dia agak sedih dengan sikap penduduk di kawasan tersebut. Nampak kurang mesra tidak seperti di kampung di Kedah. Tapi aku merasakan perkara itu biasa. Memang keramahan penduduk kampung di kawasan bandar tidak sama seperti keramahan penduduk kampung yang betul-betul di kawasan kampung. Apa yang menarik perhatian aku adalah seorang pak cik ini. Dia pernah mengalami kelumpuhan dan sedang berjalan-jalan di sekitar kawasan sekolah. Orangnya sangat ramah dan bantu kami mencari tempat untuk menyewa. Walaupun bukan rezeki aku mencari rumah, tapi aku berdoa agar pak cik tersebut sentiasa sihat dan dirahmati Allah selalu.
Malamnya, pak cik membawa kami ke apartmen kenalan wanitanya yang mahu mencari penyewa. Apabila bertemu dengan orangnya, hatiku mula resah. Ma juga seperti aku. Orangnya bekerja sebagai penguatkuasa dan ala-ala tomboi. Ma mula fikirkan macam-macam. Orangnya nampak ramah dan membawa kami ke apartmennya. Memang nampak selesa dengan ada 3 bilik tidur. Namun, tiada dapur. Kami berbual-bual seketika sebelum meminta diri untuk pulang. Ma pula berdoa agar esok aku dapat bertanya kepada guru-guru sekolah. Mungkin ada rezeki aku esok.
Keesokkan paginya, aku harus melaporkan diri di PPD Klang. Hatiku sangat berdebar-debar. Bagaikan jantung mahu terkeluar dari tubuh aku. Kami bertolak awal ke sana. Sampai sahaja di sana, aku dapat lihat begitu banyak kereta yang diletakkan di kawasan PPD Klang sehingga memenuhi jalan-jalan di tepi perkubuhan Cina. Kelihatan begitu ramai guru baru sedang berdebar-debar seperti aku juga. Aku memberitahu ma aku mahu pergi seorang diri bersama-sama kelompok guru-guru baru lain.
Baru sahaja aku ingin menegur seorang guru perempuan ini, aku terkejut apabila melihat wajahnya. Dia Nisa. Budak TEYL. Dulu aku pernah berpraktikum bersama-samanya selama 3 bulan di Pulau Pinang. Aku bersyukur kerana di situ aku dapat bertemu dengan orang yang aku kenal. Ada Nisa, hatiku tidak gundah lagi. Nisa bagaikan memberi satu keyakinan kepadaku untuk hidup di bumi Selangor ini. Alhamdulillah. Tidak lama kemudian, kami diminta beratur untuk melaporkan diri. Aku terpisah seketika dengan Nisa. Tapi, aku bertemu dan sempat berbual dengan ramai guru baru lain. Ramai di antara mereka yang sedang mencari tempat tinggal di sekitar daerah Klang. Sama juga seperti aku.
Selepas mendapat memo penempatan di sekolah, pihak PPD Klang meminta kami melaporkan diri di sekolah hari itu juga. Debaran semakin terasa. Semakin hampir dengan sekolah, jantungku makin kencang berdegup. Aku seorang diri melangkah ke pejabat untuk melaporkan diri kepada Guru Besar. Guru Besar menerima aku dnegan penuh keramahan dan tangan terbuka. Memo penempatan dibacanya. Tetapi, satu lagi cabaran aku harus tempuhi. Katanya, sekolah itu sudah mempunyai lebihan guru untuk subjek Sains. Jadi, aku ditawarkan untuk mengajar subjek Matematik, Bahasa Melayu dan Sivik. Hatiku waktu itu agak remuk rendam.
"Mahu terima atau tidak? Jika aku tolak, aku takut dikatakan guru baru banyak songeh?'
Aku teringat pesanan pensyarah-pensyarah dulu. Terima sahaja apabila diminta mengajar subjek lain. Belajar kalau tidak tahu.
Oleh itu, aku menerima tawaran tersebut. Guru Besar membawa aku bertemu dengan cikgu-cikgu lain dan melawat persekitaran sekolah.. Jadual juga telah disediakan kepada aku. Guru Besar meminta aku mengikut jadual waktu dan masuk mengajar. Jadi, hari pertama aku sudah masuk ke kelas Tahun 5 K dan 4 K. Abah dan ma pula sudah tiada di sekolah. Meninggalkan aku untuk belajar menyesuaikan diri dengan persekitaran sekolah.
Aku bersyukur. Aku diterima dengan senang hari oleh guru-guru sekolah. Aku juga disediakan tempat di bilik guru. Aku juga dapat bertemu dengan ramai guru senior yang berasal dari Kedah. Aku juga dapat berkenalan dengan guru-guru lain yang sentiasa menegur aku semasa berada di bilik guru. Aku dapat lihat kemesraan guru-guru di situ tanpa mengira bangsa dan umur. Itu pandangan pertama aku mengenai guru-guru sekolah ini.
2 comments:
welcome. =)
Good luck and all the best!
Post a Comment