Jul 27, 2009

DIARI CINTA DI HATIKU III

Semalam aku menerima panggilan telefon daripada Kak Nisa. Katanya dirinya telah dirisik oleh seorang akauntan yang tinggal sekampung dengannya. Pemuda itu juga menjadi pilihan kedua ibu bapanya. Wah, Kak Nisa sungguh bertuah. Orangnya begitu cantik, lemah lembut, solehah dan pandai memasak. Pada aku, memang beruntung sesiapa yang berjaya memiliki hati Kak Nisa.

Masa di universiti dulu, Kak Nisa adalah teman serumahku. Selain Kak Nisa, rumah yang terletak kira-kira 5 km daripada universiti itu turut dihuni oleh Suraya, Fiza, Marlia dan Dian. Di kalangan teman serumah, aku lebih rapat dengan Kak Nisa dan Suraya. Fiza dan Marlia boleh dikatakan agak bersosial dan jarang ada di rumah. Dian pula hampir setiap minggu pulang ke rumahnya. Oleh itu, banyak masa aku habiskan bersama Kak Nisa dan Suraya. Ini telah mengeratkan tali persahabatan di antara kami bertiga.

"Kak Nisa kiranya dah bersedia nak kawin la nie ye?" Aku bertanya kepada Kak Nisa semasa dia menghubungiku. Kak Nisa kudengar tertawa kecil.
"Insyaallah, Qis. Rasanya akak dah bersedia. Akak percaya pilihan mak dan ayah akak tak salah. Mungkin jodoh akak dah sampai kot," balas Kak Nisa.
"Kak Nisa, Qis tak sabar nak makan nasi minyak Kak Nisa. Cepat-cepat hantar kad tau!" Aku bersuara ceria sebagai tanda berkongsi kegembiraan dengar Kak Nisa.
Sekali lagi Kak Nisa kudengar tergelak kecil.
"Ye la tu. Entah-entah Qis dulu yang bina masjid. Dapatlah Kak Nisa jadi pengiring Qis nanti," usik Kak Nisa.

Aku sekadar melepaskan ketawa kecil. Hmm, ada-ada saja idea Kak Nisa kalau ingin mengusik aku. Selepas itu, aku menukar topik berkaitan kawan-kawan sekampus yang lain. Seboleh-bolehnya aku cuba mengelak daripada membincangkan soal cinta yang mengaitkan diriku. Soal cinta itu, biarlah di hatiku saja.


"Kalau ada jodoh, tak ke mana Kak Nisa...".Itulah kata-kata terakhir aku sebelum mengakhiri perbualan aku dengan Kak Nisa.





No comments: